MADAH...
..Kebenaran itu sebenarnya indah. Untuk memilikinya tidaklah mudah, terpaksa menempuh jalan yang susah. Jalan yang susah itulah ramai orang yang gagal menempuhnya.
..Kalaulah terpaksa memilih salah satu daripada dua perkara, jika ditinggalkan dosa kurang berkemajuan, jika membuat dosa pesat kemajuan, orang mukmin memilih biarlah kurang kemajuan asalkan dosa dapat ditinggalkan.
..Untuk membaikkan manusia kalau tidak ditumpaskan lebih dahulu kejahatan yang sedia ada di dalam hati manusia, bahkan disuburkan pula kejahatan hati itu, kalaupun tidak ada kejahatan di dalam kehidupan untuk ditiru dia akan mencetuskan kejahatan untuk orang lain tiru.
..Membuang sifat marah tidak mungkin kerana ia fitrah semulajadi manusia.
Yang salah melajakkan sifat marah.
Allah berfirman maksudnya: "Orang Mukmin itu membenamkan sifat marah."
..Jika sesuatu yang kita kehendaki belum dapat susah hati kita. Setelah dapat bimbang kehilangannya, kemudian apa yang didapat itu rasa tidak cukup, lebih-lebih lagi apa yang dapat itu tidak sebanyak orang lain dapat. Timbul pula tamak memburunya. Sampai bilakah hendak mendapat ketenangan dan kebahagiaan, sedangkan ketenangan dan kebahagiaan itu sesuatu perkara yang tiada nilainya.
..Orang yang jiwanya rasa kehambaan sangat tajam, atau rasa bertuhannya sangat tebal, apa sahaja yang berlaku pada dirinya, sama ada yang dia lihat, dengar, rasa, tahu semuanya menjadi pengajaran kepadanya.
..Kalau di dalam hal-hal ibadah boleh datang riyak dan megah, betapalah halnya perkara-perkara dunia lebih-lebih mudah lagi kedatangan riyak dan megah. Kerana itulah periksalah perjalanan hati kita. Ke mana dia hendak membawa kita, kepada Tuhan atau selain-Nya.
..Banyak orang menganggap masa depan itu hanya setakat hidup dunia. Sedikit sekali yang mengatakan masa depan itu ialah kehidupan di akhirat. Maka ramailah manusia memikirkan dunia dan sedikit sekali yang memikirkan akhirat.
.. Setiap amal ibadah itu memang ada fadhilatnya, begitulah rahmat Allah ke atas hamba-Nya mengurniakan fadhilat-fadhilat itu. Tapi perlu diingat kalau seseorang itu beribadah kerana fadhilat bukan kerana zat Allah, selalunya perangai orang itu tidak berubah daripada mazmumah kepada mahmudah sekalipun banyak ibadahnya. Orang-orang itu tertipu (ghurur) dengan ibadahnya.
..Setiap nikmat yang kita terima hendaklah kita merasakan kita tidak layak menerimanya, hingga merasa malu memilikinya, tapi sudah anugerah Tuhan kenalah terima, kemudian gunakanlah kepada yang diredhai-Nya, dengan itu kita akan terselamat dari berbangga, terselamat dari kedekut, tamak dan mudah dikorbankan kepada kebajikan.
